Want your
own Fotopage?








 
Henna/Mehendi/Inai
bridal henna, wedding, design, art, henna, mehendi, mehndi, inai, perkahwinan, wedding planner, henna party, dinner
By: Sakina Henna Design

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Monday, 8-Sep-2008 07:19 Email | Share | Bookmark
Sakina Henna Design

Berita Harian Jumaat 5 September 2008 – Muka Surat 9 & 10 Bahagian Ratu

Inai Hiasan Bakal Mempelai
Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my



design by Sakina

INAI dalam perkahwinan Melayu seakan menjadi kewajipan. Istiadat berinai adalah antara tradisi dalam perkahwinan Melayu yang boleh dikategorikan kepada tiga acara, iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar.

Masyarakat dulu kala menggunakan inai pada kuku tangan dan kaki sebagai perhiasan kerana inai mempunyai keharuman bau asli selain untuk perubatan.

Selain digayakan pada semua jari, jari kaki juga dianggap penting walaupun ketika ini kebanyakan pengantin sudah memakai kasut walaupun di dalam rumah. Ada juga kawasan tertentu yang mempunyai adat meletakkan inai pada bahagian tengah tapak tangan dan tapak kaki selain garisan setebal 1 cm di keliling kaki.


Adat penting perkahwinan: Pemakaian inai bagai satu kemestian dalam budaya Melayu

INAI lebih dikenali sebagai henna dalam bahasa Arab sementara Mehendi pula dalam Bahasa Hindi. Daun inai boleh didapati di Iran, Pakistan, Syria, Maghribi, Mesir, India dan juga Malaysia.

Mengikut sejarah, penggunaan inai ini bermula dari India yang diperkenalkan pada zaman Moghul. Ada juga fakta mengatakan penggunaan inai bermula dari Mesir. Budaya merantau yang diamalkan masyarakat dulu untuk tujuan perdagangan menyebabkan budaya memakai inai turut mempengaruhi masyarakat di kawasan yang dikunjungi.


ADA TEKNIK: Melukis inai memerlukan kesabaran dan ketelitian supaya hasil cantik dan unik.

Malaysia khususnya antara negara yang mendapat pengaruh berkenaan dan penggunaan inai kini sudah menjadi tradisi atau adat dalam perkahwinan masyarakat Melayu.

Pelukis inai, Sakina Shakir Hussein, berkata pada zaman dulu tiada penggunaan bahan kosmetik campuran seperti yang terdapat dalam inai zaman sekarang. Malah, kini pemakaian inai dalam adat perkahwinan Melayu menjadi satu gaya yang menjadi ikutan setiap mempelai dengan membuat pelbagai jenis lukisan dan corak flora dan fauna.

Katanya, istiadat berinai adalah antara acara dalam perkahwinan Melayu yang dikategorikan kepada tiga iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. Berinai curi dan berinai kecil dilakukan beberapa hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan.

“Adat ini dilakukan untuk pengantin perempuan saja. Bahagian yang diinai ialah kedua tapak tangan, sepuluh jari tangan, bahagian kuku jari kaki dan keliling tapak kaki. Kemerahan inai boleh dijadikan sebagai tanda bahawa seseorang itu baru saja melangsungkan perkahwinan.”

“Seperkara lagi yang tidak dapat diketepikan, tradisi perkahwinan Melayu jelas sekali mempunyai kaitan rapat dengan tumbuhan semula jadi. Malah masyarakat Melayu amat berpegang kepada pepatah yang berbunyi ‘biar mati anak jangan mati adat’,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sakina berkata, berinai dalam perkahwinan Melayu adalah tidak wajib, tetapi ia bergantung kepada kehendak seseorang itu sama ada mahu ataupun tidak. Begitupun, bagi sebahagian masyarakat, digalakkan memakai inai untuk nampak lebih istimewa.

“Sebelum menjelang majlis perkahwinan, biasanya inai akan dipakai sehari dua sebelum akad nikah atau majlis bersanding. Ia boleh bertahan lama sehingga tiga minggu, bergantung kepada cara penjagaan inai berkenaan.”

“Bagaimanapun, proses untuk membuat inai pada tangan dan kaki pengantin mengambil masa lama sekurang-kurangnya tiga jam untuk siap sepenuhnya. Ia juga bergantung pada jenis rekaan, jika lebih ringkas lebih pendek masanya, tetapi proses mengering untuk tampak kemerahan atau coklat gelap mengambil masa dua jam,” katanya.

Beliau yang terbabit dalam mencorak inai sejak empat tahun lalu berkata, bagi mengekalkan warna inai seseorang itu perlu mengelakkan diri daripada menggunakan air atau sabun.

Di sesetengah tempat, adat amalan yang mana pengantin lelaki turut memakai inai pada tiga jari sebelah tangan kanan, iaitu jari kelingking, jari manis dan jari hantu (tengah) untuk membezakan pengantin dengan ahli keluarga serta tetamu yang hadir. Pemakaian inai pada jari lelaki turut memberi tanda bahawa mereka juga baru saja berkahwin.


Corak inai penyeri tangan pengantin

KINI ramai pengantin Melayu lebih berminat memakai inai dan membuat ukiran lukisan pelbagai corak bermula hujung jari ke lengan. Bukan saja bahagian tangan, tetapi juga kaki kerana ia adalah satu seni lukisan yang menarik.

Corak lukisan inai di atas tangan kalangan masyarakat Melayu bermula sejak beberapa tahun sebelum ini. Gaya terbaru ini adalah pengaruh daripada budaya Hindu di India dan Islam di Pakistan, Mesir, Iran dan Syria.

Beliau berkata, berkata gaya terkini bagi pengantin perempuan dengan melukis corak selalunya dibuat atas tangan. Corak yang selalunya mendapat perhatian ialah rekaan Arab atau India dan juga bunga.

“Corak rekaan Arab lebih besar berdasarkan corak tumbuh-tumbuhan sementara rekaan corak India bergaris halus dan penuh kombinasi antara corak renda dan tumbuh-tumbuhan,” katanya.

Beliau berkata, setiap pelukis inai mempunyai cara tersendiri untuk membuat pes yang terbaik supaya dapat menghasilkan warna merah atau coklat gelap.

“Bahan yang digunakan terdiri daripada bahan semula jadi seperti serbuk inai (diperbuat daripada daun tumbuhan inai), air, serbuk teh, serbuk kopi, jus limau, gula, asam jawa, bunga cengkih, lada hitam dan sebagainya,” katanya.

Katanya, sebelum memakai inai, tangan pengantin perlu bersih tanpa menyapu sebarang losyen atau minyak bayi kerana kesan nanti tidak terang. Bagaimanapun selepas membuang inai yang kering itu, pengantin disarankan menyapu minyak supaya kesan merahnya boleh tahan lebih lama.


INFO : Sakina Henna Design
• No. H/P : 016-2449850
• Web : http://sakinahennadesign.blogspot.com
• Email : sakina_my@yahoo.com



View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net